suria

Penganggur Dipenjara Seumur Hidup Terlibat Rompakan Bersenjata

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur bakal merengkok seumur hidup di sebalik tirai besi setelah didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas pada April 2009.

Bagaimanapun, Hazly Ali, 25, bernasib baik terlepas daripada tali gantung dan hanya dipenjara 15 tahun dan dua sebatan setelah mahkamah meminda satu daripada dua pertuduhan yang dihadapinya melibatkan satu lagi kes rompakan bersenjata pada hari sama.

akim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata untuk pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap dakwaan penglibatan tertuduh dalam satu kes rompakan sebuah kedai emas di Dungun, 13 April 2009.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 4.10 petang hari tersebut, tertuduh didakwa bersama seorang yang telah dijatuhkan hukuman dan seorang lagi masih bebas telah melakukan rompakan dan semasa kejadian itu tertuduh telah menunjukkan sepucuk pistol yang mendatangkan ketakutan kepada Ibrahim Che Kok, 57 di Kedai Tukang Emas Berkat, Fatimatun Shariah, No 6 Kedai Aked Mara, Jalan Pasar Paka, Dungun.

Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dihukum sebat tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Menurut Mohd Yazid, setelah menimbang keterangan saksi, tertuduh adalah orang yang masuk dengan bersenjatakan pistol ke kedai emas ketika rompakan di Kedai Tukang Emas Berkat itu.

Untuk pertuduhan kedua iaitu rompakan di sebuah lagi kedai emas di lokasi sama lima minit kemudian, Mohd Yazid berkata tertuduh bukan lelaki bertatu yang dikenal pasti saksi perbicaraan yang masuk ke kedai emas itu dan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang yang telah dijatuhkan hukuman dan seorang lagi masih bebas pada 13 April 2009 kira-kira 4.15 petang, telah merompak Kedai Yong Seng Tukang Emas, No 196, Jalan Majlis Paka, Dungun.

Semasa rompakan, tertuduh didakwa melepaskan satu das tembakan dengan menggunakan sepucuk pistol dengan niat untuk menyebabkan kematian dan kecederaan ke atas seorang lelaki bernama Lee Jin Rong, 34.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Bagaimanapun, Mohd Yazid berkata, tertuduh mengakui dia terlibat dalam rompakan berkenaan cuma hanya berada dalam kereta.

Mohd Yazid berkata berikutan itu, mahkamah meminda pertuduhan daripada Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971 (Akta 37) kepada Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan.

Hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Tertuduh diwakili peguam bela Zulkifli Mohd Tarmizi dan Mohd Hisham Abd Rahim manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi. - BERNAMA

Artikel Lain