suria

Penamatan Perkhidmatan Bas Henti-Henti Jejas Ribuan Penumpang

PETALING JAYA: Berpuluh-puluh ribu penumpang mungkin terkandas hari ini berikutan penamatan perkhidmatan bas henti-henti ketika orang ramai kembali bekerja dari cuti akhir tahun.

Senario sebegini adalah kenyataan yang memperlihatkan beribu-ribu kanak-kanak juga ingin memulakan penggal baru mereka esok dan turut menjejaskan sebilangan besar pengguna bas henti-henti kerana penggantungan laluan di beberapa negeri, termasuk Selangor yang mengalami kerugian besar.

Pengguna mungkin akan berdepan keadaan seperti ini untuk sekurang-kurangnya dua minggu atau lebih, sebelum Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijangka membayar sebahagian dari dana bas sebanyak RM400 juta secara berperingkat kepada pengusaha bas yang terlibat.

Permohonan bagi dana dibuka hari ini dan SPAD berkata pihaknya akan menyerahkan wang itu kepada pengendali yang layak dalam tempoh 14 hari.

Dalam pada syarikat-syarikat bas ini terus berusaha untuk beroperasi, sebuah syarikat bas, Lean Hock Sdn Bhd, terpaksa menutup operasi selepas menanggung kerugian besar selepas 64 tahun berkhidmat di Pulau Pinang dan Kedah.

Pengendali bas henti-henti Cityliner, Konsortium Transnasional Berhad (KTB), berkata pihaknya tidak mungkin dapat meneruskan perkhidmatan terhadap 21 laluan yang digantung pada 13 Disember selepas mengalami kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun.

"Memang kerajaan telah berjanji untuk memberikan RM400 juta sebagai menyokong pengusaha bas henti-henti, tetapi sehingga kini, saya tidak pasti jika syarikat saya akan mendapat pembiayaan dan jika ada, berapa banyak," kata Pengarah Eksekutif KTB Tengku Hasmadi Tengku Hashim.

"Sukar untuk kita meneruskan perkhidmatan sehingga ada petunjuk dan jumlah yang jelas daripada SPAD."

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Kamal berkata, pihaknya mensasarkan untuk mengagih dana itu dalam tempoh 14 hari akan datang apabila pemohon memenuhi syarat-syarat kelayakan dan menandatangani perjanjian perkhidmatan.

"Keutamaan akan diberi kepada negeri-negeri yang menghadapi masalah yang serius, seperti Selangor," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan pengusaha bas supaya mereka dapat memberi gambaran yang jelas tentang masalah mereka.

Apabila Cityliner menghentikan perkhidmatan di 21 laluan bas pada 13 Disember lalu, ianya dikatakan telah menjejaskan kira-kira 80,000 penumpang.

Di BUTTERWORTH, Derrick VINESH melaporkan bahawa kerajaan negeri menasihatkan pengusaha bas yang bermasalah untuk menunggu sehingga SPAD selesai mengagihkan saluran bantuan sebelum membuat keputusan menghentikan operasi mereka.

Kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata syarikat-syarikat bas harus bersabar dan melihat bagaimana SPAD dapat melakukan yang terbaik untuk membantu mereka.

Beliau bagaimanapun kecewa apabila SPAD berkata syarikat-syarikat yang menerima bantuan daripada kerajaan negeri tidak layak memohon peruntukan.

Bendahari MTUC Pulau Pinang, V.Vijayan juga menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membantu syarikat-syarikat bas henti-henti yang bermasalah.

Pada hari Ahad, syarikat bas di Taiping, Red Omnibus menghentikan operasi, mengikut jejak langkah Hock Lean Sdn Bhd.

Artikel Lain