suria

KDN Rampas DVD Lucah, Cetak Rompak Bernilai Lebih RM48,000

ALOR SETAR: Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri(KDN) Kedah merampas cakera video digital (DVD) cetak rompak dan lucah bernilai lebih RM48,000 dalam satu operasi di Taman Semarak, Kulim dekat sini, Isnin.

Ketua cawangan Zainal Abidin Othman berkata serbuan yang dilakukan 13 anggotanya pada pukul 5.30 petang semalam merampas 7,280 keping DVD cetak rompak bernilai RM36,400 dan 780 DVD lucah bernilai RM11,700.

"Kita percaya DVD lucah ini yang dijual dengan harga RM15 sekeping dijual kepada pelanggan tetap sahaja manakala DVD cetak rompak pelbagai tajuk dijual dengan harga RM5," katanya pada sidang media, Selasa.

Zainal berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga pekerja premis itu untuk siasatan lanjut dan pihaknya juga giat mengesan pemilik premis berkenaan agar dikenakan tindakan undang-undang.

Premis yang disewa itu pernah diserbu beberapa kali oleh pihaknya dan agensi penguatkuasa lain namun tetap berdegil dan aktif menjual DVD cetak rompak serta lucah, katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya suspek mencetak sendiri DVD tersebut selain mendapatkan bekalan daripada sumber sedia ada, dan turut membekalkannya kepada peniaga DVD haram pasar malam sekitar pekan Kulim.

Katanya suspek juga mempunyai sebuah lagi kedai DVD cetak rompak di Pulau Pinang dan pernah dikenakan tindakan undang-undang sebelum ini namun tidak serik.

Kes DVD cetak rompak disiasat di bawah Seksyen 18(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan jika sabit kesalahan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi DVD lucah kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) akta sama dan jika sabit kesalahan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Lain