suria

Empat Sekeluarga Dibunuh Dalam Serangan Kejam

SIBU: Empat sekeluarga, dua daripadanya kanak-kanak ditemui mati dibunuh dengan kejam di kediaman mereka di sini pagi, Selasa manakala seorang lagi budak lelaki yang parah sedang bertarung nyawa di hospital.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Lau Heng Soon berkata mereka yang mati dikenal pasti sebagai ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, ibunya Leong Nyuk Lan, 76, anak lelakinya David Ling Chei Qi, 10 dan anak perempuan Amy Ling Zi Jiun, tujuh.

Seorang lagi anak Tong Hock, Kelvin Ling Chei You, lapan, kini dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Sibu akibat kecederaan parah di kepala, katanya pada sidang akhbar, di sini.

Law berkata isteri Tong Hock, Li Xiao Lan, 28, sempat menyelamatkan diri ke rumah jiran melalui tingkap selepas terdengar bunyi bising di tingkat bawah kediaman mereka, dan pintu bilik tidurnya pula ditendang oleh beberapa individu.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian di rumah di Lorong 13B1, RTM Road itu agar tampil membantu siasatan.

Law juga meminta media agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang dipercayai berlaku antara 7 hingga 7.30 pagi itu.

Jika perlu, pihaknya akan membawa pakar forensik sama ada dari Kuching atau Bukit Aman (Kuala Lumpur), kata Law.

"Saya datang ke sini khusus untuk kes ini bagi melihat bantuan yang boleh kami tawarkan. Kami akan menyiasat kes ini daripada semua aspek," katanya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata polis menolak rompakan sebagai motif serangan, memandangkan rumah tersebut tidak digeledah serta tidak ada barangan yang dipercayai hilang.

Beliau berkata polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup di rumah itu.

Sementara itu, Law berkata Sibu masih bandar yang selamat dan penduduk tidak perlu bimbang.

Hanya dua kes bunuh dicatatkan di sini tahun lepas, dan satu daripadanya telah diselesaikan, katanya - BERNAMA

Artikel Lain