suria

Demonstrasi Jalanan Sudah Tidak Relevan - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Mahasiswa tidak seharusnya terlibat dalam demonstrasi jalanan lagi kerana ia sudah tidak relevan dengan situasi hari ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tiada alasan mahasiswa perlu bertindak membabi buta kerana kerajaan memberi jaminan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) akan dipinda bagi membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi menyertai politik.

"Jangan pergi universiti jika mahu berdemonstrasi. Tiada fakulti demonstrasi disediakan di mana-mana universiti," katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di sini, Selasa.

Jelas beliau, mahasiswa seharusnya memberi keutamaan terhadap pelajaran daripada berpolitik kerana mereka akan mempunyai banyak masa untuk menyertai mana-mana parti politik selepas menamatkan pengajian.

"Jangan pertikaikan tindakan pihak berkuasa jika anda ditahan. Berani buat berani tanggung. Saya tidak pernah mempertikaikan kenapa saya ditangkap kerana saya sedar apa yang saya perjuangkan dahulu," katanya.

Ketika ditanya sama ada Perkasa tidak akan terlibat dengan perhimpunan jalanan pada masa akan datang, Ibrahim berkata, mereka akan melakukannya dengan cara lebih sihat selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2011.

"Jadi sekarang kita boleh berhimpun di dalam dewan mahupun kampus. Tidak perlu bertindak liar kerana ia bukan hanya akan merosakkan harta benda awam malah menimbulkan huru-hara," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Perkasa akan membiayai kos guaman Madrasah Salihiah di Alor Setar, Kedah yang akan dirobohkan kerajaan negeri tersebut bagi projek pembangunan Aman Central.

"Kita telah melantik firma guaman Ahmad Rusydi Md Nor di Sungai Petani untuk memfailkan injunksi supaya mahkamah dapat menentukan tindakan kerajaan negeri Kedah berhubung keputusan merobohkan madrasah itu," katanya.

Menurut Ibrahim, injunksi itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi, Alor Setar pada Rabu.

Sebelum ini, kerajaan PAS Kedah tetap dengan keputusan untuk merobohkan Madrasah Salihiah meskipun terdapat cadangan agar dilakukan pengubahsuaian terhadap pelan pembinaan kompleks membeli belah yang akan menjejaskan madrasah berusia lebih 100 tahun itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, selaku graduan lulusan Universiti Al-Azhar, beliau tahu mengenai hukum hakam dan keputusan untuk membenarkan pengambilan tapak serta bangunan madrasah berstatus wakaf khas berkenaan dibuat hanya selepas mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri.

Katanya, pihak luar termasuk Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir tidak perlu campur tangan dalam perkara tersebut kerana soal mengubah pelan projek pembinaan kompleks membeli belah berkenaan adalah urusan kerajaan negeri.

Artikel Lain