suria

Borang Dana Bas Henti-Henti Dikeluarkan Bermula Hari Ini

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas henti-henti di Semenanjung Malaysia yang menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan operasi boleh mendapatkan borang permohonan dana sokongan sementara bermula hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata borang boleh diperolehi daripada pejabat SPAD di seluruh Semenanjung atau menerusi laman web www.spad.gov.my.

Dana ini hanya terbuka kepada syarikat sedia ada yang mengalami masalah kewangan untuk meneruskan perkhidmatan sosial di kawasan operasi, katanya dalam kenyataan di sini.

"Dana ini merupakan langkah interim yang hanya menampung 'shortfall' dalam operasi harian supaya pengusaha bas berkenaan terutama di kawasan luar bandar dapat meneruskan perkhidmatan," kata Syed Hamid.

Beliau berkata pembayaran dana akan dibuat secara berperingkat dan akan dimulakan di kawasan yang telah dikenal pasti kerajaan sebagai kawasan memerlukan.

Syed Hamid berkata bagi fasa pertama, dana bantuan itu akan digunakan untuk membantu syarikat yang bermasalah di Selangor diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

Dana itu akan diberikan kepada syarikat dan pengusaha yang layak serta mereka dikehendaki membuat tuntutan mengikut perkhidmatan yang telah diberikan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain