suria

Pencapaian 'Luar Biasa' Salleh Majid Ketika Terajui BSKL Dikenang

KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Mohd Salleh Abdul Majid disifatkan sebagai tokoh yang mencatat pencapaian luar biasa dalam menerajui Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) selain sentiasa memperjuangkan ekonomi orang Melayu.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir berkata Allahyarham adalah seorang tokoh yang konsisten dan tidak pernah teragak-agak dalam membuat keputusan.

"Diharap ada pihak yang mengumpulkan buah fikiran Allahyarham untuk dikompilasikan dalam bentuk buku," katanya sebagai mengulas pemergian Mohd Salleh, 62, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10.20 pagi tadi akibat barah usus dan kegagalan buah pinggang.

Bercakap kepada Bernama ketika menziarah jenazah bekas presiden BSKL itu di Hulu Kelang di sini, Moehamad Izat yang lama mengenali Mohd Salleh, berkata: "Sebagai anak Melayu, Allahyarham dikagumi kerana mampu membuat perubahan amat ketara dalam ekonomi bumiputera Melayu.

"Dan arwah juga sentiasa memberi pandangan daripada segi ekonomi dengan matlamat menguatkan penguasaan ekonomi negara." Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Kelang pada 5.30 petang tadi.

Berkongsi pandangan dengan Moehamad Izat, bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Seri Azman Ujang yang semasa menjadi wartawan sering membuat liputan berita ekonomi ketika Mohd Salleh menerajui BSKL.

Azman berkata, harga saham di BSKL ketika Mohd Salleh melambung berbanding sekarang.

"Masa itu harga saham melambung naik sehingga ada yang mencecah paras RM140 untuk kaunter-kaunter tidak terkenal berbanding harga saham sekarang yang lebih murah daripada harga roti canai, tidak meningkat lagi. Itulah zaman kegemilangannya," kata Azman.

Beliau turut menyentuh idea Allahyarham untuk mewujudkan Bursa Saham Islam melibatkan beberapa negara Arab dan Malaysia.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kagum dengan perjuangan gigih Allahyarham dalam memperjuangkan ekonomi bangsa Melayu.

"Saya bersama-sama beliau belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) tetapi beliau tidak memilih bidang politik dan sebaliknya memilih bidang profesional.

"Paling menarik pasal dia, dia bukan oportunis. Dia hanya bincang pasal ekonomi tapi tak pernah ambil kesempatan. Hidup dia pun sangat sederhana...dia seperti orang biasa saja," katanya. Ibrahim Abdul Majid, 60, adik kepada kepada Mohd Salleh berkata Allahyarham menghidap sakit buah pinggang sejak tahun 90-an.

"Allahyarham menghidap kanser usus sejak setahun lepas dan telah beberapa kali dimasukkan ke wad," katanya.

Allahyarham dimasukkan ke HKL Selasa lepas. Seorang anak perempuan Allahyarham yang enggan namanya disiarkan, berkata ayahnya seorang yang prihatin dan penyayang walaupun sibuk dengan tugas hariannya. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain