suria

Pembelian Aset Pertahanan Selari Had Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kos pembelian aset-aset dalam inventori pertahanan negara tidak melebihi siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan sekaligus tidak berlaku penyelewengan dalam perolehan tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebihan perbelanjaan hanya berlaku berikutan kenaikan kadar pertukaran wang asing dan faktor penting yang lain.

"Harga siling telah ditentukan oleh bajet yang diperuntukkan dan semua aset yang dibeli termasuk kapal tempur pesisir pantai (LCS), lazimnya tidak melebihi siling yang ditentukan itu kecuali bila berlaku kenaikan pertukaran wang asing.

"Kenaikan kos juga mungkin berlaku apabila terdapat pertukaran spesifikasi terhadap aset berkenaan namun boleh dikatakan perbelanjaan kesemua aset menepati siling yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pergerakan Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Mindef 2, Bangunan Zetro, Wangsa Maju di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tuduhan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bahawa kos pembelian LCS telah meningkat berbilion ringgit sebaik saja tender pembinaan enam LCS diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS).

Ahmad Zahid turut menafikan bahawa berlakunya penyelewengan terhadap pembelian mana-mana aset termasuk LCS dan beliau sedia menjawab segala persoalan dan tuduhan yang dibangkitkan jika Tony Pua berani berdepan dengannya di Kementerian Pertahanan.

Beliau juga mencabar Tony Pua dan mana-mana pihak yang mempunyai bukti penyelewengan berhubung pembelian inventori pertahanan negara agar melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menunjukkan dokumen sebagai bukti.

"Saya telah menjemput Pua untuk menaiki kapal selam di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 11) yang lalu tetapi Pua menolak justeru saya andaikan beliau hanya berani berkokok dan menjadi hero di belakang tabir.

"Ketika saya menjawab soalan beliau di Parlimen, beliau juga tidak hadir untuk mendengar tetapi berterusan membuat tuduhan dalam ceramah politik, berani hanya di hadapan khalayak pembangkang sahaja, bila minta bersemuka tidak berani," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin pembangkang yang lain tidak seharusnya mengheret rakyat dalam kancah peribadi dengan menggalakkan demonstrasi pada 9 Januari ini.

"Jangan cuba merakyatkan kes itu dan kalau kita benar-benar seorang yang yakin pada demokrasi, kita hendaklah menghadapinya dengan cara penuh demokrasi bukannya dengan cara demontrasi.

"Biar mahkamah menjadi hakim bagi soal perundangan dan biar rakyat jadi hakim pada pilihan raya umum," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid melepaskan pergerakan seramai 16,885 pelatih PLK NKumpulan 1 Siri 9/2012 bagi menjalani latihan di kem-kem PLKN seluruh negara di mana bakinya seramai 27,011 peserta akan bergerak pada esok dan lusa.

"Untuk tempoh tiga hari bermula hari ini, kita menghantar seramai 43,896 peserta di seluruh kem PLKN dan ini melibatkan penghantaran melibatkan 821 perjalanan bas, 77 penerbangan dan enam kali perjalanan feri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Briged Sukarelawan Khidmat Negara akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Chini, Pahang, bulan depan.

"Kira-kira 620,000 alumni iaitu bekas peserta PLKN akan menyertainya di mana penglibatan mereka akan dibuat secara berperingkat supaya keseluruhan bekas peserta PLKN ini dapat menjadi anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain