suria

Pekerja Kedai Keranda Maut Ditembak Ketika Sarapan

JOHOR BAHARU: Seorang pekerja kedai keranda maut akibat ditembak ketika sedang bersarapan di sebuah kedai kopi, di Jalan Nakhoda, Taman Ungku Tun Aminah, di sini, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata Ong Chin Loo, 48, yang sedang bersarapan bersama dua rakannya ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar, kira-kira pukul 7.15 pagi.

"Ong mati serta merta di tempat kejadian akibat tembakan yang terkena pada badan yang dipercayai menggunakan pistol jenis automatik. Suspek kemudian dilihat melarikan diri bersama motosikalnya yang diletakkan di belakang kedai," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata polis menemui enam kelongsong peluru di tempat kejadian dan sedang menyiasat terperinci kes itu menerusi kamera litar tertutup yang dipasang dalam kedai berkenaan.

Beliau berkata polis kini sudah menahan dua lelaki yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya mayat Ong dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain