suria

MTUC Minta Kerajaan Semak Semula Dasar Berkaitan Pekerja Asing

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Isnin menggesa kerajaan menyemak semula keputusannya membenarkan warga asing bekerja dalam sektor yang sudah menggunakan tenaga kerja tempatan.

Bercakap kepada Bernama, naib presidennya A. Balasubramaniam berkata gesaan itu dibuat kerana secara jangka panjang, keputusan berkenaan memberi kesan mendalam dan serius terhadap rakyat tempatan, termasuk peminggiran mereka apabila pekerja asing sanggup bekerja dengan upah lebih rendah.

Pada 27 Dis, 2011, kerajaan mengumumkan bahawa 1.3 juta pendatang asing tanpa izin yang didaftarkan melalui Program 6P akan dibenarkan bekerja sebagai peraih wang judi, penjual surat khabar, pemotong rumput dan pencuci rumah serta kenderaan.

Mereka juga boleh bekerja di bengkel, lombong, kuari, sektor pembalakan kayu bakau, perniagaan makanan dan minuman serta kedai makanan segera.

Selain itu, kelonggaran turut diberi kepada mereka untuk bekerja dalam perniagaan barangan lusuh, pengendalian kargo, rumah kebajikan, hotel, sebagai kedi, dalam perniagaan dobi, sebagai tukang gunting, tukang emas dan dalam perniagaan tekstil serta perniagaan borong dan runcit.

Mereka akan dibenarkan bekerja dalam sektor berkenaan selama dua tahun.

Balasubramaniam berkata kelonggaran meluas itu akan memberi kesan buruk terhadap rakyat tempatan kerana ia mendorong banyak majikan membuang pekerja tempatan untuk mengambil pekerja asing.

Katanya majikan lebih suka mengambil warga asing kerana mereka tidak perlu membayar gaji tinggi dan boleh disuruh bekerja untuk tempoh yang lama dengan hanya menyediakan kemudahan perubatan serta tempat tinggal secara minimum.

Sesetengah pekerja asing berkenaan juga tidak akan diberi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata beliau.

Balasubramaniam berkata dasar baru itu akan menyukarkan Malaysia mencapai taraf negara maju apabila berlaku penindasan terhadap upah pekerja. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain