suria

Mayat Nelayan Hilang Dipercayai Terjatuh Dari Bot Ditemui

YAN: Mayat nelayan yang hilang setelah dipercayai terjatuh daripada bot ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing di perairan berhampiran Pulau Songsong di sini Sabtu lepas, ditemui pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu berkata mayat Hairin Anuar Hassan, 30, dijumpai pasukan penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama nelayan tempatan kira-kira pukul 3 petang tadi.

Ismail berkata mayat nelayan itu ditemui dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian di sekitar kawasan perairan antara Pulau Songsong dengan Pulau Bunting, iaitu tempat mangsa dipercayai terjatuh.

"Dalam operasi mencari dan menyelamat ini dilakukan oleh sepasukan anggota APMM dari Kuala Kedah, Pulau Pinang dan Langkawi dengan dibantu nelayan tempatan," katanya kepada pemberita di Jeti Kuala Dulang Kechil, di sini.

Mayat Hairin Anuar dihantar ke Hospital Yan untuk dibedah siasat.

Sebelum kejadian, Hairin Anuar dikatakan pergi memancing bersama tiga rakannya dengan menaiki sebuah bot dari Jeti Kuala Dulang Kechil pada 6.30 pagi Sabtu dan disedari hilang oleh rakan mangsa kira-kira 5.30 petang.

Mereka pergi memancing sehingga ke kawasan tengah laut berhampiran pulau tersebut, iaitu kira-kira 15 batu nautika dari jeti itu, namun mengambil keputusan untuk pulang pada pukul 4 petang kerana angin kuat dan laut bergelora. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain