suria

Hebat! Empat Peserta Program Tanaman Padi Berkelompok Buktikan Mampu Raih RM40,000 Semusim

KUALA TERENGGANU: Empat peserta tanaman padi berkelompok dari Kampung Baru Tetambah, Kuala Nerus dekat sini telah membuktikan mereka dapat menambah pendapatan sehingga RM40,000 semusim.

Ketua kumpulan itu, Anuar Said, 43, berkata beliau bersama tiga rakannya mengerjakan kawasan tanah seluas kira-kira 13 hektar sejak empat tahun lalu dengan tanaman padi.

"Tanah sawah terbiar kepunyaan penduduk kampung itu ditumbuhi semak sebelum beliau bersama rakan membersihkan kawasan berkenaan untuk tanaman padi.

"Kami menyewa tanah berkenaan sebanyak RM80 sehektar," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis pengagihan peralatan pertanian dan perikanan bagi kawasan Kuala Nerus oleh Anggota Parlimen kawasan berkenaan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri di sini, Isnin.

Pada majlis itu, Anuar telah menerima bantuan sebuah jentera perata tanah. Lain-lain penerima ialah Zulkifli Muda, Abdul Ghani Abdul Rahman, Mamat Yunus semuanya berupa enjin bot sangkut dan seorang lagi usahawan, Rogayah Ismail menerima mesin pengisar ikan untuk membuat keropok.

Anuar berkata, setakat ini beliau dan rakan-rakannya hanya mampu menanam padi sekali setahun yang hasilnya boleh dituai antara Julai dan Ogos.

Katanya, selain mengerjakan kawasan padi bersama tiga rakannya itu, dia turut terlibat dengan projek mini estet padi melibatkan 80 hektar bersama 14 petani lain di kampung berkenaan.

Katanya, projek itu di bawah kendalian Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan Manir dalam usaha menjana dan meningkatkan pendapatan penduduk.

Sementara itu, Mohd Nasir berharap bantuan peralatan yang diberikan kepada petani dan nelayan itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi menambah hasil pendapatan keluarga.

"Saya lebih suka bantuan itu diberikan dalam bentuk berkelompok supaya lebih ramai yang mendapat manfaat.

"Dalam masa terdekat ini kerajaan telah menyumbangkan hampir RM80,000 dalam bentuk peralatan pertanian dan perikanan kepada penduduk di kawasan parlimen ini," katanya.

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain