suria

Guru Taska, Anak Lelaki Nyaris Maut Dalam Cubaan Ragut

KUALA TERENGGANU: Seorang guru Taska dan anak lelakinya nyaris maut setelah motosikal yang dinaiki terbabas ketika cuba menyelamatkan diri dalam cubaan ragut di Kampung Rajawali, di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Norita Omar, 37 dan anaknya Mohamad Najmi Almin, 5, mengalami kecederaan di muka, kaki dan tangan setelah kedua-duanya tercampak ke atas permukaan jalan raya.

Dua beranak itu dihantar ke Hospital Daerah Dungun oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan ketika mengesahkan kejadian itu berkata kejadian berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pulau Serai, di sini, apabila seorang lelaki berumur 20-an yang juga menunggang motosikal bertindak menghimpit motosikal mangsa.

Suspek kemudiannya menyentap beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam raga motosikal, katanya.

Terkejut dengan kejadian itu, katanya Norita cuba menarik semula beg tangannya menyebabkan motosikal ditungganginya hilang kawalan sehingga menyebabkan dia dan anaknya tercampak di jalan raya.

Suspek yang turut terbabas dan terjatuh daripada motosikalnya melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran dan gagal melarikan beg tangan wanita itu, katanya.

Manoharan berkata seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang kebetulan melalui kawasan berkenaan membantu menghantar dua beranak itu ke hospital Dungun sebelum dirujuk ke HSNZ.

Polis sedang menyiasat kes itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain