suria

Dunia Kewartawanan Kehilangan Tokoh Ekonomi

KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Salleh Abdul Majid, bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) adalah seorang yang tidak lokek untuk memberikan pandangan terhadap isu-isu ekonomi terkini.

Dunia kewartawanan pastinya kehilangan seorang tokoh ekonomi yang sentiasa memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi semasa walaupun telah meninggalkan dunia pasaran saham hampir sembilan tahun yang lalu.

Mohd Salleh, 62, yang menghembuskan nafas terakhir pada Isnin, kerap ditemu bual media massa apabila melibatkan isu-isu ekonomi dan kewangan seperti Belanjawan tahunan, pasaran saham dan sebagainya.

Allahyarham meninggal dunia akibat barah rektum dan kegagalan buah pinggang kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Ahli Kehormat Persatuan Bahasa, Mohd Salleh juga turut mempunyai kolumnya sendiri di beberapa akhbar tempatan bagi melontarkan pandangan beliau berkaitan isu-isu ekonomi terkini.

Selain Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham adalah antara tokoh ekonomi yang sangat menggalakkan pembelian emas sebagai pelaburan alternatif.

"Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka," katanya dalam salah satu ruangannya.

Agak digeruni wartawan, beliau yang lebih dikenali sebagai "Salleh Majid" sentiasa mahukan perkongsian pandangan secara dua hala di mana wartawan harus bersedia untuk disoal semula oleh beliau.

Lebih gemar berinteraksi secara tidak formal ketika ditemu bual, kadangkala beliau akan bertanya semula kepada wartawan dengan soalan: "Kau faham tak apa yang aku cakap ni."

Memperoleh Master of Business Administration dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat sekitar 1971, Mohd Salleh memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Mara.

Setelah berkhidmat dalam sektor awam selama kira-kira enam tahun, Allahyarham kemudiannya memasuki sektor swasta dengan memulakan kariernya sebagai Pengurus, Udasaha Management Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UDA.

Allahyarham bersama rakan-rakan di sebuah syarikat konsultasi kewangan dikatakan ketika ini sedang mengusahakan satu cadangan untuk diusulkan kepada kerajaan bagi mewujudkan sebuah Bursa Saham Islam di negara ini. BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain