suria

Polis Terpaksa Tahan 17 Pelajar Universiti Bila Mereka Enggan Bersurai

TANJUNG MALIM: Polis telah menahan 17 pelajar termasuk seorang pelajar perempuan, yang terlibat mengambil bahagian dalam demonstrasi haram di luar kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, majoriti pelajar yang berdemonstrasi itu adalah dari Universiti Selangor (Unisel), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Management and Science University (MSU). Katanya, hanya dua pelajar yang ditahan dalam kejadian itu - Adam Adli Abdul Halim dan pelajar perempuan tersebut dari UPSI.

Adam Adli adalah pelajar yang bertanggungjawab menurunkan bendera yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan dataran PWTC baru-baru ini.

"Mereka yang ditahan semua akan dibebaskan dengan jaminan polis nanti," ujarnya.

Mohd Shukri juga turut menjelaskan bahawa pihak polis tidak menggunakan kekerasan atau pun memukul para pelajar berkenaan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah blog. "Kami hanya bertindak menahan demi keselamatan awam.

"Mereka berdegil tidak mahu berganjak dan bersurai apabila diminta berbuat demikian oleh polis dan dengan itu polis tidak mempunyai pilihan melainkan bertindak menahan mereka," tegas beliau lagi.

Kumpulan pelajar yang ditahan itu katanya sudah tentulah bertindak cuba melepaskan diri apabila polis menyerbu dan itu mungkin ditafsirkan sebagai berlakunya pergelutan dan kekasaran.

Bagaimanapun kata Mohd Shukri, seorang pelajar telah terlanggar panel kaca sebuah klinik berhampiran ketika kejadian itu dan mengalami kecederaan. Dia telah diberi rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Tanjung Malim.

"Manakala seorang lagi pelajar telah dibawa ke Hospital Slim River kerana mengalami kecederaan kecil," katanya.

Polis juga katanya telah menerima enam laporan polis berikutan kejadian itu dan juga satu aduan serta laporan yang dibuat oleh pemilik klinik berkenaan dan dua laporan daripada pelajar.

Artikel Berikut

Amanat PM Sempena Tahun Baru

Artikel Lain