suria

Polis Tahan 8 GRO Warga China Dalam Serbuan Di George Town

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan lapan wanita warga China berumur dalam lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam satu operasi yang dinamakan Ops Noda di sebuah pusat hiburan, Jalan Kedah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai berperanan sebagai pelindung kepada wanita terbabit.

"Siasatan awal mendapati GRO terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial. Hasil siasatan polis juga mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen hiburan awam," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut menahan seorang pengunjung lelaki berusia 43 tahun yang mengeluarkan kata-kata kesat kerana berang dengan tindakan polis menahan wanita terbabit dan dibebaskan selepas diambil keterangan.

Kesemua tahanan dibawa ke IPD Timur Laut bagi membantu siasatan.

Katanya, lelaki berumur 36 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 59/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 bagi setiap pendatang atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, kesemua wanita warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 59/63 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan dan denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Amanat PM Sempena Tahun Baru

Artikel Lain