suria

Penjenayah Lepaskan Tembakan Lepas Samun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki melepaskan tiga das tembakan yang mengenai pagar dan lantai selepas rakannya menyamun sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang dari sebuah rumah di Desa Melawati, Hulu Klang dekat sini, semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an itu, bertindak menyamun keluarga berkenaan sebaik sahaja mereka pulang ke rumah teres dua tingkat itu.

Suspek pertama dikatakan menyerbu masuk ke rumah berkenaan berikutan pagar dan pintu rumah itu terbuka sebelum merampas beg tangan milik wanita berusia lingkungan 40-an, yang diletakkan di atas meja di tingkat bawah.

Anak lelaki mangsa yang berumur 19 tahun cuba mendapatkan semula beg tangan ibunya mengakibatkan berlaku pergelutan dengan suspek pertama.

Melihatkan pergelutan itu, suspek kedua memasuki rumah dan memukul kepala anak mangsa dengan topi keledar sebelum mengacu pistol ke dadanya.

Kedua-dua suspek kemudian bergegas keluar dari rumah itu sebelum suspek kedua melepaskan tembakan ke pagar dan lantai rumah itu dan meninggalkan tempat itu menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Artikel Berikut

Amanat PM Sempena Tahun Baru

Artikel Lain