suria

Dua Kg Di Pasir Puteh Kelantan Dinaiki Air

PASIR PUTEH: Seramai 26 orang daripada enam buah keluarga di dua buah kampung di sini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berikutan hujan lebat diikuti angin kencang sejak malam tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata mereka ditempatkan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan Sekolah Kebangsaan Bukit Awang.

"Ini berikutan rumah kediaman mereka di Kampung Wakaf Bunut,dan Bukit Awang di naiki air antara satu hingga dua meter," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk seorang mangsa yang menghidap penyakit lumpuh yang dihantarkan ke Hospital Tengku Anis di sini untuk mendapatkan rawatan.

Katanya lagi, beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan iaitu laluan dari Pasir Puteh ke Jerteh, Pasir Puteh ke Semerak dan Pasir Puteh ke Kota Baru.

Seorang mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kamil, Che Abdulah Che Mat, 72, berkata halaman rumahnya dinaiki air hampir paras dada pukul 3 pagi tadi.

Mangsa yang lumpuh kedua-dua belah kaki berkata dia dan isterinya terpaksa berpindah apabila paras air memasuki rumahnya sedalam antara 0.1 hingga 0.2 meter.

Sementara itu, Pejabat Pengairan dan Saliran Pasir Puteh ketika dihubungi berkata paras air di Sungai Semerak pada 10 pagi ini berada pada paras berjaga-jaga iaitu 2.4 meter.

Keadaan cuaca sepanjang hari ini kelihatan redup dan hujan masih turun renyai-renyai. -BERNAMA

Artikel Berikut

Amanat PM Sempena Tahun Baru

Artikel Lain