suria

Sekolah Antarabangsa Labuan Tambah Kemudahan Baru Menjelang 2012

LABUAN: Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) di sini akan menambah sebuah bangunan sekolah moden menjelang pertengahan 2012 untuk menempatkan sebuah auditorium bagi seni persembahan dan kemudahan infrastruktur ICT paling canggih, kata Mohd Rizlan Mokhyar, pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA). Pembiayaan bagi projek pembesaran itu diperuntukkan oleh kerajaan mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan, katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Rizlan berkata LIS berubah secara beransur-ansur untuk menjadi pusat pendidikan berinovatif yang setara dengan sekolah antarabangsa lain di rantau ini sebagai elemen yang sangat penting dalam menambah baik infrastruktur pembangunan di pulau ini untuk menyokong Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) serta industri minyak dan gasnya yang semakin berkembang.

Kepada penduduk di Labuan, sama ada ekspatriat atau masyarakat setempat, LIS, yang terletak berhampiran Ujana Kewangan Labuan, telah mencapai standard baru memandangkan pelajarnya digalakkan supaya berfikir dengan kreatif dan memberi kritikan munasabah.

Labuan FSA, sebuah badan berkanun yang terletak dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan menerusi Bank Negara, menguruskan sekolah berkenaan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pristine Era Sdn Bhd(PESB).

Mohd Rizlan berkata LIS mencapai kemajuan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan dan Labuan FSA komited ke arah pertumbuhannya menerusi perkongsian pintar dengan Cempaka Holdings Sdn Bhd, sebuah pengusaha sekolah antarabangsa yang terkemuka.

Beliau berkata peningkatan kemasukan dalam LIS merupakan petanda yang menggalakkan terhadap kemajuan yang dicapai oleh sekolah berkenaan.

LIS, yang ditubuhkan pada 1996, ketika ini mempunyai lebih 200 pelajar yang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat - Manjaria Kindergarten bagi pelajar berumur antara 4 dan 6 tahun, Sekolah Sri Labuan iaitu sebuah sekolah persendirian yang menawarkan kurikulum KBSR Malaysia dan sebuah sekolah antarabangsa yang menawarkan kurikulum antarabangsa di peringkat rendah.

Mohd Rizlan berkata pembabitan Labuan FSA dalam pengurusan dan pembiayaan LIS sejak 1999 membuktikan komitmen kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti di Labuan.

Dalam menyokong hasrat untuk muncul sebagai sekolah antarabangsa terulung, LIS menaik taraf kemudahannya dengan menyediakan bilik darjah berhawa dingin, sebuah pusat sumber yang dilengkapi komputer, sebuah kolam renang, sebuah padang permainan dan kawalan keselamatan sepenuhnya semasa waktu persekolahan.

Mohd Rizlan berkata falsafah pendidikan yang diterima pakai oleh LIS adalah pendekatan menyeluruh ke arah pendidikan yang tertumpu kepada konsep minda, jiwa dan raga.

Ini bermakna LIS tidak hanya bermatlamatkan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajarnya tetapi juga aktiviti kokurikulum seperti renang, muzik, pengakap, kelab komputer dan aktiviti luar misalnya berkhemah, kayak dan snorkeling. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain