suria

Prof Dr Raduan Naib Canselor UMK

KUALA LUMPUR: Setiausaha Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Raduan Che Rose dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menggantikan Prof Datuk Zainai Mohamed, yang tamat perkhidmatan pada Sabtu.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan bagi tempoh tiga tahun itu berkuat kuasa pada Ahad.

Pemilihan Dr Raduan berdasarkan pengalaman dan ketokohan beliau dalam pengurusan organisasi selain latar belakang akademik yang kukuh.

Dilahirkan pada 3 Dis 1960 di Alor Gajah, Melaka, Dr Raduan yang juga lulusan University of Leeds, United Kingdom dalam jurusan Human Resources Management/International Business merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sejak Jun 2010.

Kementerian Pengajian Tinggi turut merakamkan penghargaan kepada Dr Zainai atas sumbangannya meletakkan asas yang kukuh kepada UMK sebagai sebuah universiti baru terutama kepada pembangunan fizikal dan kemajuan program akademik di universiti itu selapas menyandang jawatan itu pada 1 Okt 2006.

UMK, yang dibuka pada 2007, mempunyai 2,000 pelajar yang mengikuti 17 kursus pengajian di kampus sementara di Taman Bendahara, Kota Baharu dan Jeli sementara menanti kampus induknya di Bachok siap dibina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain