suria

Mangsa Banjir Di Johor Menurun, Sarawak Pulih Sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di Johor kini menurun kepada 220 setakat petang Sabtu berbanding 241 orang pada sebelah pagi.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), enam pusat pemindahan masih dibuka di daerah berkenaan yang menempatkan 54 keluarga.

Kesemua pusat pemindahan tersebut melibatkan Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya, kata MKN dalam portalnya.

Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan hanya Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melebihi paras amaran dengan 9.08 meter.

Di KUCHING, keadaan banjir di Sarawak pulih sepenuhnya dengan kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang dan semua pusat pemindahan banjir ditutup pagi Sabtu.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi berkata pusat pemindahan terakhir ditutup jam 9 pagi ini di Kampung Pengkalan Pantu.

"Setakat 2 petang tiada lagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan banjir seluruh Sarawak dan keadaan kini dilaporkan semakin baik," katanya.

Beliau berkata tiada laporan kejadian tanah runtuh diterima setakat ini di seluruh Sarawak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain