suria

Jamil Khir Jelaskan Dakwaan Seleweng Wang Zakat & Pembelian Rumah

SEPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Sabtu menegaskan, laporan yang mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah semata-mata.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sepertimama yang didakwa tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, dan kita ini yang kita pakai lah," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu.

Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.

Beliau berpendapat, laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.

"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya lagi.

Menurutnya, pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.

Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata, pihak yang membuat tuduhan berkenaan boleh membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menjelaskan, rumahnya itu dibeli pada tahun 1994 sebelum beliau dilantik sebagai menteri lagi dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini.

"Kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu adalah perkara biasa. Saya dulu mejar jeneral dalam angkatan tentera...saya ada pencen penuh dan tak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya lagi.

Beliau juga berkata, penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak memahami keadaan sebenar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain