suria

Dua Laporan Polis Bantah Demonstrasi Kempen Bebaskan Anwar

KUNAK: Dua persatuan suku kaum di sini pada Sabtu membuat laporan polis berhubung rancangan pihak tertentu mengadakan demonstrasi "Kempen Bebaskan Anwar 901" di ibu negara pada 9 Januari depan.

Laporan pertama oleh Abdul Sabur Wahid, 49, mewakili beberapa suku kaum Suluk dan Ketua Bahagian Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBMM), Zahari Lorong, pula laporan kedua, di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kunak di sini pada kira-kira jam 9 pagi.

Ketika laporan dibuat para penyokong persatuan membawa sepanduk antara lain tertulis, 'Kami Cintakan Keamanan dan Kedamaian, Bukan Rusuhan, Jangan Persendakan Sistem Kehakiman Negara, Kami Tidak Perlukan Pemimpin Tidak Bermoral, Kami Bantah Perhimpunan Bebaskan Datuk Seri Anwar'.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Abdul Sabur berkata dia dan beberapa rakan lain meminta pihak berkuasa menyiasat dan sekiranya benar perlu menghalang serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut.

"Biarlah mahkamah yang buat keputusan, janganlah mengheret rakyat untuk adakan demonstrasi", katanya.

Penghakiman kes Anwar dijadualkan dibuat mahkamah pada 9 Jan ini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) Kunak, Abdul Rahim Wahab memberitahu dia juga membuat laporan polis membantah sebarang bentuk perhimpunan atau demonstrasi yang boleh mencetuskan ketidak-tenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Kunak, DSP M.Radzali Mahmud mengesahkan pihaknya ada menerima kedua-dua laporan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain