suria

UPP Tahan Pikap Thailand Cuba Seludup Petrol

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah, mematahkan cubaan menyeludup 3,400 liter petrol oleh dua pikap Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Durian Burung, Padang Terap kira-kira pukul 5.45 petang Khamis.

Komander UPP Kedah Abd Latif Abd Rahman berkata anggotanya yang melakukan rondaan di Jalan Padang Sanai-Durian Burung mengesan dua kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan dipercayai membawa muatan terlarang.

"Ketika pihak UPP hendak menahan, kedua-dua kenderaan memecut laju bagi mengelak ditahan namun UPP berjaya menahan kenderaan itu selepas melepasi kompleks ICQ," katanya pada sidang media di Pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini, Jumaat.

Katanya pemeriksaan mendapati dua pikap berkenaan mempunyai satu tong besi yang diisi dengan minyak petrol diletakkan pada bahagian belakang dan ditutup dengan kain hitam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tempatan.

Kedua-dua lelaki warga Thailand berusia 30 dan 31 tahun yang tidak mempunyai dokumen pemilikan membawa minyak itu berbuat demikian untuk mengaburi pihak berkuasa.

Abd Latif berkata hasil siasatan lanjut, kedua-dua suspek mengaku mengisi minyak dalam tangki tambahan yang dipasang pada bahagian belakang pikap yang boleh diisi sebanyak 1,800 liter petrol pada satu-satu masa.

"Mereka yang pernah melakukan kegiatan ini sebelum ini mengakui mendapatkan bekalan minyak di stesen minyak sekitar pekan Kuala Nerang sebelum menyeludup minyak terbabit ke negara mereka disebabkan harga petrol yang tinggi," katanya.

Beliau berkata nilai pasaran minyak yang dirampas ialah RM6,460 manakala nilai pasaran Thailand pula RM11,900.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM250,000 bagi individu manakala RM500,000 bagi syarikat atau penjara tidak kurang dari tiga tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain