suria

Undang-Undang Hubungan Kaum Perlu Dapat Sokongan

TELUK INTAN: Rang Undang-undang Hubungan Kaum dijangka dibentangkan di Parlimen Mac ini perlu disokong semua pihak kerana ia memupuk keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata dasar undang-undang tersebut perlu diperjelaskan sebaik-baiknya supaya tiada kenyataan yang boleh melukakan perasaan kaum di negara ini dikeluarkan secara sewenang-wenangnya.

"Kita hendaklah memberi pertimbangan lebih telus dengan mengambil kira undang-undang sama yang dilaksanakan di negara maju," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jalinan Kasih 1Malaysia bersama Menteri di sini Khamis.

Bagaimanapun, katanya, undang-undang itu akan dikaji oleh Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen.

Koh menyangkal dakwaan bahawa undang-undang tersebut dibuat berasaskan kepada 'Patriot Act' di Amerika Syarikat dan 'Anti-Terrorism Act' di United Kingdom.

"Tidak semestinya mengikut seluruhannya, kita hanya buat rujukan kerana apa juga undang-undang perlu berpaksikan kepada keadaan di negara ini selaras dengan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pada Rabu, akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata negara memerlukan undang-undang bertujuan mewujudkan had berhubung perlakuan masyarakat yang tinggal dalam suasana berbilang kaum.

Beliau berkata rang Undang-Undang Hubungan Kaum negara ini akan mirip kepada undang-undang British termasuk menghalang mana-mana pihak mendiskriminasi pihak lain mengikut kaum, warna kulit, kewarganegaraan dan etnik dalam pekerjaan, penyediaan perkhidmatan dan barangan serta fungsi-fungsi awam.

Dalam pada itu, Koh berkata keanggotaan jawatankuasa kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) terbuka kepada mereka yang berminat menyertai aktiviti rukun tetangga.

"Ia bukan saja ditujukan kepada pemastautin lebih 30 hari, tetapi juga untuk mereka yang mempunyai kepentingan memiliki rumah, menjalankan perniagaan atau bekerja dalam sesuatu kawasan," katanya.

Katanya, KRT dan SRS yang sedia ada diberi keutamaan untuk bertindak dan bergerak bersama-sama tanpa menjejaskan hubungan sosial.

"Kita berharap KRT menjadi lebih relevan dan mantap dalam tugas untuk tujuan perpaduan, menjaga keselamatan dan menjalin keharmonian kaum," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain