suria

TPM Akan Sertai Rakyat Selangor Di i-City Raikan Sambutan Tahun Baru

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyertai acara pengiraan detik menjelang Tahun Baru 2012 malam esok sempena Karnival 'Sayangi Selangor' di i-City di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, Muhyiddin dijangka tiba pada 10.45 malam untuk beramah mesra dengan pengunjung, peniaga dan petugas pameran sebelum mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan acara pengiraan detik Tahun Baru.

"Orang ramai dijemput membawa keluarga masing-masing menyertai pelbagai acara menarik yang disediakan di Karnival Sayangi Selangor termasuk sambutan Tahun Baru 2012 mulai 9 pagi esok.

"Pelbagai acara menarik untuk semua peringkat umur disediakan dan tiada bayaran masuk dikenakan," katanya kepada Bernama.

Karnival empat hari itu itu dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) Selangor dengan tujuan menterjemahkan sokongan rakyat negeri itu kepada BN.

Mohd Zin berkata, karnival itu juga boleh dianggap sebagai sambutan ambang tahun baru terbesar pernah diadakan di Selangor mahupun di peringkat nasional.

Katanya, antara acara yang disediakan sepanjang karnival itu ialah pertunjukan bunga api, belon udara panas, bola sepak jalanan, pertandingan gendang, karakter kartun 'Sponge Bob' bertemu peminat, permainan kanak-kanak 'Soppa Doopa', muzik belia serta persembahan artis popular Akademi Fantasia dan Malaysian Idol seperti Adam, Yazir, Suki dan Daniel.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menyaksikan tarikan terbaru di i-City seperti 'Ferris Wheel' gergasi yang pertama kali ditempatkan di taman tema itu selain produk lain seperti 'Snowhouse', 'Spacewalk', 'Superswing', '2-tier Carousel', 'Circus', 'Bumper Car' dan Kapal Lanun.

Orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan untuk ke tapak karnival, katanya.

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain