suria

Rumah Anak Yatim Di Puchong Terbakar

KUALA LUMPUR: Seramai 33 kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim "House of Joy" hilang tempat berlindung apabila rumah dua tingkat yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Taman Tenaga, dekat Puchong, di sini, Jumaat.

Kebakaran pada pukul 10.50 pagi itu dipercayai bermula di salah sebuah bilik di tingkat atas sebelum merebak ke bahagian lain sehingga memusnahkan keseluruhan tingkat atas bangunan itu manakala 60 peratus daripada tingkat bawah rumah berkenaan turut musnah.

Bagaimanapun, 20 kanak-kanak berusia antara enam hingga 17 tahun yang berada di tingkat bawah ketika itu berjaya diselamatkan.

Pemangku Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Anuar Harun berkata sebanyak tiga jentera bomba dengan 27 anggota dan pasukan siasatan forensik tiba di tempat kejadian pada pukul 10.59 pagi untuk mengawal kebakaran.

Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Anuar berkata kanak-kanak itu akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya di Puchong Jaya, buat sementara waktu.

Sementara itu, Moses Chart, 68, penjaga rumah anak yatim tersebut, berkata beliau hanya menyedari kebakaran itu apabila terbau sesuatu terbakar dan mendapati api sudah marak di bilik tingkat atas rumah itu.

"Nasib baik ketika itu kanak-kanak sedang menonton televisyen di tingkat bawah rumah. Api marak di bahagian atas rumah kerana ia diperbuat daripada kayu," katanya.

Sementara itu Ketua Pengurusan Rumah Anak Yatim "House of Joy", Lesly Mah, 55, berkata orang ramai boleh memberikan sumbangan dengan menghubunginya terus di talian 019-3392847. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain