Produk Perubatan Tradisional 'Twee Hong Suah' Tidak Selamat Digunakan - Semasa | mStar

Produk Perubatan Tradisional 'Twee Hong Suah' Tidak Selamat Digunakan

KUALA LUMPUR: Produk perubatan tradisional 'Twee Hong Suah' ditarik balik penjualannya serta-merta kerana mengandungi tahap merkuri melebihi had yang dibenarkan, menyebabkan ia tidak selamat digunakan. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata syarikat yang bertanggungjawab ke atas pendaftaran produk itu, Hong Yang Hoo Pharma Sdn Bhd turut diarah menghentikan pembekalan serta menarik balik semua produknya yang berada di pasaran.

"Produk yang terbabit adalah bernombor 1103026, 1106013, 1111013 dan 1107011.

"Ia digunakan secara tradisional untuk kanak-kanak bagi melegakan angin di bahagian perut, sakit perut, rasa loya, cirit-birit, batuk dan demam," katanya dalam satu kenyataan malam Khamis.

Dr Hasan, yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, berkata semua produk berkenaan disampel di bawah prosedur pengawasan mutu produk berdaftar yang dilakukan secara rutin oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

Beliau berkata hasil ujian mendapati produk itu mengandungi merkuri melebihi had biasa yang dibenarkan iaitu 0.5mg/kg.

Merkuri ialah sejenis logam berat dan jika digunakan dalam kuantiti berlebihan, ia boleh mengakibatkan kesan keracunan seperti rasa kebas, gatal, sakit, warna kulit menjadi merah jambu di bahagian pipi, hujung jari dan jari kaki kulit mengelupas serta boleh menyebabkan kerosakan sistem buah pinggang dan otak.

Sehubungan itu, Dr Hasan menasihati orang ramai agar tidak menggunakan produk 'Twee Hong Huah' dan mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan jika mengalami kesan sampingan akibat penggunaan ubat tersebut.

Maklumat lanjut berkaitan penarikan semula penjualan ubat itu boleh didapati dengan menghubungi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di talian 03-78835546 atau 03-78835539. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pos M'sia Lantik CEO Baru

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mas Ermieyati sertai Bersatu

Pilu tiga ibu rayu anak pulang