suria

Pengedar Dadah Mati Selepas Tembak Menembak Dengan Polis

GEORGE TOWN: Seorang pengedar dadah yang dikehendaki polis mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Sungai Lokam, Butterworth malam Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakop berkata lelaki berusia 36 tahun dan berasal dari Butterworth itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan pada 10.30 malaqm tadi telah mengekori kereta yang dipandu lelaki berkenaan sehingga ke tempat kejadian selepas mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata sebaik lelaki yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah termasuk mengedar dadah itu menyedari diekori polis, dia bertindak memecut keretanya.

Katanya apabila polis memintas kereta itu di Sungai Lokam, lelaki itu terus keluar dari kenderaan itu dan melepaskan beberapa tembakan ke arah polis.

"Anggota kita bertindak membalas tembakan dan terkena lelaki yang memang dikehandaki polis itu dan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Ayub berkata polis menemui sepucuk pistol dan sejumlah peluru serta dua ketul dadah jenis ganja seberat 1.2 kilogram dalam kereta itu.

Katanya polis turut menemui topeng muka, sarung tangan, satu batang rotan dan sebuah komputer riba, dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

"Siasatan juga mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan senjata api dan dadah yang kedua-duanya masih dalam perbicaraan," katanya.

Dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki dan merampas dua pucuk pistol bersama 80 butir peluru dalam sebuah kereta yang dipandunya di Nibong Tebal malam tadi.

Ayub berkata lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan positif dadah itu direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206). - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain