suria

Isu SMM: Aspirasi Harap Saifuddin Penuhi Tuntutan Memorandum

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) berharap Datuk Saifuddin Abdullah akan memenuhi tuntutan mereka berhubung isu penurunan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Dis lepas.

Presidennya Mohd Shahar Abdullah berkata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu masih mempunyai masa empat hari untuk memenuhi tiga tuntutan yang dikemukakan Aspirasi menerusi satu memorandum pada 21 Dis lepas.

"Jika Saifuddin masih berkeras tidak mahu bertanggungjawab, tidak mahu mendesak SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia) dan Bebas (Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik) memohon maaf pada PM secara terbuka, kita rasa Saifuddin harus memenuhi tuntutan ketiga iaitu beliau perlu meletak jawatan," katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Beliau juga berkata Aspirasi akan menghantar surat rasmi kepada Saifuddin pada hari ke-15 memintanya meletak jawatan, jika Anggota Parlimen Temerloh itu tidak memenuhi mana-mana tuntutan tersebut.

Selain itu katanya, ASPIRASI juga akan mengadakan referendum dan mengumpul tandatangan semua pihak berkaitan pengajian tinggi sebagai bantahan serta memohon Saifuddin berundur.

Dalam kejadian 17 Dis itu, kumpulan SMM dan Bebas berkumpul di pekarangan Menara Dato' Onn yang menempatkan ibu pejabat Umno, bagi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti serta menyerahkan memorandum kepada Saifuddin.

Seorang daripada mereka dikatakan bertindak menurunkan bendera memaparkan wajah Perdana Menteri dan menaikkan bendera SMM serta Bebas.

Susulan itu, Aspirasi yang menyatakan sokongan padu kepada Najib menggesa Saifuddin agar mendesak SMM dan Bebas memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri.

Mengenai isu berkaitan, Mohd Shahar berkata Aspirasi akan mengadakan Program Jelajah Aman Kampus bagi membetulkan semula persepsi mahasiswa terhadap kerajaan yang kini giat dipesongkan.

"Kita tidak boleh membiarkan mahasiswa disemai dengan perasaan benci terhadap kerajaan sejak daripada universiti lagi. Ancaman seperti pemesongan pemikiran, doktrinasi dan memutar belitkan pemikiran mahasiswa yang sedang giat dijalankan tidak harus dibiarkan berterusan," katanya.

Beliau berkata program selama dua minggu pada pertengahan Februari ini akan diadakan di 25 institusi pengajian tinggi, serta membabitkan 15 badan bukan kerajaan.

Program mensasarkan 1,000 penyertaan dan antara acara yang akan diadakan ialah forum, ceramah oleh pemimpin termasuk negarawan serta peserta Imam Muda dan Ustazah Pilihan, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain