suria

Dua Beradik Dikurung Dalam Tandas Selepas Rumah Dipecah Masuk

KUALA LUMPUR: Dua beradik perempuan dikurung dalam tandas selepas rumah mereka dimasuki penyamun di Taman Wilayah, Jinjang awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata tiga lelaki dipercayai memecah masuk rumah teres dua tingkat itu melalui tingkap di ruang tamu pada 4.30 pagi Khamis.

"Tiga lelaki terbabit telah mematahkan jeriji tingkap dan memasuki salah sebuah bilik di rumah mangsa. Seorang daripada tiga suspek mengacukan pisau ke arah kedua beradik itu sebelum mengurung mereka di dalam tandas," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata bapa mangsa menyedari kejadian itu selepas bangun untuk solat Subuh dan mendapati anaknya yang berusia 18 dan 28 tahun tidak ada dalam bilik sebelum menemui mereka terkurung dalam tandas.

Bagaimanapun, kedua-dua beradik itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zakaria berkata suspek menggeledah rumah itu sebelum melarikan empat telefon bimbit, sebuah komputer riba, sejumlah wang tunai serta sebuah kereta jenis Proton Inspira.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/7 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain