suria

Derma Token Mata The Star Kepada Pertubuhan Amal

KUALA LUMPUR: Bermula 6 Januari hingga 6 Februari depan, pembaca akhbar The Star boleh menyerahkan token mata dari akhbar tersebut yang tidak digunakan kepada salah sebuah daripada lapan pertubuhan amal sebelum dikumpul dan dihantar untuk penjadualan di bawah The Star Bid & Win Charity Series.

Pertubuhan amal yang mendapat kutipan token tertinggi akan membawa pulang hadiah utama, sebuah kereta Peugeot 207 bernilai lebih RM70,000.

Pengarah Urusan Kumpulan The Star Publications, Ho Kay Tat berkata, dalam empat siri pertama, pembaca membida untuk diri sendiri.

"Dalam final program amal ini, kami memberi peluang kepada pembaca untuk memenangi hadiah bagi pertubuhan amal pilihan mereka. Semua token mata yang dikumpul boleh digunakan untuk kerja-kerja amal," katanya.

Antara pertubuhan amal itu termasuk Pusat Jagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya KIRTARSH, Pusat Khidmat Komuniti Grace, Persatuan Kebajikan HOPE Worldwide Kuala Lumpur dan Pusat Kesedaran Wanita.

Wakil pertubuhan amal itu berkata, program itu merupakan langkah terbaik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keperluan mereka.

"Kami berharap menerusi program ini, orang ramai akan mendapat inspirasi untuk mengambil bahagian.

"Kami berhasrat untuk membuka rumah amal baru dalam masa terdekat dan memerlukan dana dan peralatan baru," kata pekerja sukarela Pusat Khidmat Komuniti Grace , Rosemary Teh.

Sementara itu, wakil Pusat Jagaan, Rumah Amal Cheshire, Datin Lynda Latimer, Dr Hartini dari Yayasan Kuala Lumpur, Lesley Loh mewakili Pertubuhan Strok Kebangsaan Malaysia, Annie Lee (Pusat Hemodialisis Mawar) dan K. Manivannan (KIRTARSH) turut memuji usaha menganjurkan program tersebut.

Promosi The Star Bid & Win diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-40 The Star selain menghargai pembaca setia.

Turut sama menganjurkan program itu adalah UOB (Malaysia) Bhd dan anak syarikat Kumpulan Naza, Nasim Sdn Bhd.

Pembaca boleh menghantar token mereka bermula 6 Januari ini.

Mereka yang menghantar bidaan untuk Ruby Series bagaimanapun dikehendaki menyimpan token tersebut sehingga pemenang diumumkan.

Untuk keterangan lanjut hubungi 1300 30 4883.

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain