suria

Banjir Di Pahang Pulih, Johor Terkawal

KUALA LUMPUR: Keadaan kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Johor dan Pahang beransur pulih setakat pagi Jumaat dengan kebanyakan mangsa telah kembali ke rumah masing-masing.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di Segamat kekal 241 orang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 8 pagi, enam pusat pemindahan itu menempatkan 58 keluarga dari Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya.

Sementara itu di Pahang, semua mangsa banjir yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadak, Rompin dibenarkan pulang malam Khamis.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 15 orang yang ditempatkan di balai raya tersebut dibenarkan pulang pada 8 malam selepas keadaan banjir di penempatan mereka pulih daripada fenomena air pasang.

"Mangsa di kawasan penempatan itu merupakan mangsa pemindahan terakhir manakala di kawasan lain tidak melibatkan pemindahan baru," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain