suria

Zoo Melaka Masih Kaji Kaedah Terbaik Jamin Keselamatan Di Lokasi Siamang

MELAKA: Pihak pengurusan Zoo Melaka masih lagi mengkaji keseluruhan lokasi habitat siamang bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pengunjung, kata Pengarahnya Ahmad Azhar Mohammed.

Beliau berkata pihaknya akan melihat semula spesifikasi kolam termasuk memastikan air sentiasa ada di tahap ketinggian yang sepatutnya kerana haiwan tersebut tidak boleh berenang dan takutkan air.

"Kami masih lagi membuat kajian dan akan melihat semula keseluruhan pulau iaitu tempat habitat siamang serta mencari punca bagaimana ia boleh keluar dari pulau tersebut," katanya kepada pemberita di Hospital Melaka selepas melawat Muhammad Afieq Haziq Kamarul Baharin, 3, yang digigit siamang di zoo itu pada 11 Dis lepas.

Beliau berkata pihak zoo juga mengkaji untuk memasang alat penggera atau litar kamera tertutup (CCTV) di kawasan siamang itu.

"Siamang tersebut masih dikuarantin sehingga mendapati pulau itu selamat digunakan sebagai habitatnya," katanya sambil menambah terdapat sepasang haiwan itu di Zoo Melaka.

Sementara itu, Kamarul Baharin Othman, 38 berkata, insiden yang berlaku terhadap anaknya itu tidak akan sekali-kali menghalangnya membawa anak-anaknya ke zoo.

"Walaupun isteri saya ada mengatakan yang dia tidak akan datang ke zoo tersebut tapi bagi saya, saya tetap akan pergi lagi dan biar anak saya meihat habitat haiwan-haiwan yang ada," katanya.

Kata Kamarul, anaknya akan dipindahkan ke Hospital Pantai Klang untuk membuat pembedahan kedua dan rawatan lanjut setelah menerima rawatan hari terakhir di Hospital Melaka pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kesihatan, Pemulihan Projek, Pembangunan Pekan Kecil dan NGO negeri Datuk Seet Har Cheow mewakili kerajaan negeri Melaka menyampaikan bantuan RM8,000 kepada Kamarul Baharin. - BERNAMA

Artikel Lain