suria

Polis Tahan Dua Suspek Dikehendaki Dalam Pelbagai Kes Curi

MELAKA: Polis berjaya menahan dua lelaki yang amat dikehendaki dalam beberapa kes curi setelah kereta yang dinaiki suspek melanggar kenderaan polis di kawasan Batu Berendam di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kejadian berlaku ketika anggota polis peronda sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan di jalan menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa, Batu Berendam kira-kira 8 malam.

"Kenderaan polis yang diletak di tepi jalan tersebut dilanggar secara tiba-tiba oleh kenderaan suspek yang yang cuba memotong di laluan kiri sehingga menyebabkan kerosakan teruk.

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu suspek merupakan kenderaan curi dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, Rabu.

Katanya polis menemui sepucuk pistol tiruan, empat komputer riba, beberapa rangkai kunci kereta, wang tunai RM996 dan satu tiub straw dipercayai digunakan untuk aktiviti dadah di dalam kereta suspek.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 33 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur mempunyai lapan rekod jenayah iaitu mencuri dalam bangunan, menyamar penjawat dan curi kenderaan.

Raja Shahrom berkata seorang lagi suspek berusia 26 tahun yang berasal dari Asahan di sini didapati mempunyai rekod penyalahgunaan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun serta sebatan," katanya.

Sementara itu, katanya polis hari ini turut menahan seorang wanita berusia 30 tahun di Sungai Undang di sini berhubung kes menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyamun warga emas.

Raja Shahrom berkata wanita yang tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya lapan kes penipuan membabitkan warga emas di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah sejak September lepas.

Katanya suspek dipercayai melakukan aktiviti tersebut bersama rakan lain. - BERNAMA

Artikel Lain