suria

Perkasa Buat Dua Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)pada Khamis membuat dua laporan polis di sini bagi menggesa siasatan ke atas dalang penganjur perhimpunan 9 Januari depan dan kenyataan seorang paderi yang mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 2.30 petang, Khamis oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berhubung perhimpunan 9 Januari dan timbalannya Datuk Abd Rahman Abu Bakar berhubung kenyataan paderi.

Ibrahim ketika ditemui media berkata terdapat pihak tertentu yang merancang untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh tersebut dan pastinya keadaan ini akan menganggu ketenteraman awam.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada tarikh berkenaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

"Mereka yang merancang ini perlu disiasat dan dibawa ke muka pengadilan. Mereka sengaja hendak membuat kecoh pada tarikh tersebut, serentak dengan keputusan mahkamah kes Anwar," katanya.

Ibrahim mendakwa terdapat risalah yang menyeru rakyat menyertai kempen itu dan memberi sokongan kepada Anwar dan perkara itu boleh menganggu proses perjalanan kes tersebut.

Sementara itu, Abd Rahman berkata polis perlu menyiasat kenyataan seorang paderi yang berbau hasutan baru-baru ini yang antara lain boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan menimbulkan perpecahan kaum.

Minggu lepas, Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship (NECF) Dr Eu Hong Seng ketika berucap pada majlis minum teh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dipetik sebagai berkata Perkara 153 adalah menyerupai membuli jika ia hanya melindungi hak satu kumpulan.

Abd Rahman berkata perlembagaan itu bukan hanya melindungi hak istimewa orang Melayu malah turut menjaga hak orang bukan Melayu. - BERNAMA

Artikel Lain