Peraturan Guna Dakwat Kekal Akan Diketahui 1 Februari Depan - Semasa | mStar

Peraturan Guna Dakwat Kekal Akan Diketahui 1 Februari Depan

KUALA LUMPUR : Keputusan mengenai peraturan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diketahui pada 1 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata peraturan itu sedang digubal dan kandungan dakwat masih dikaji oleh Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Selepas siap, ia dijangka boleh dipaparkan pada mesyuarat Parlimen dan dianggap untuk berkuat kuasa," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat ke enam PSC di Bangunan Parlimen, di sini, Khamis.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata dakwat baru itu adalah lebih baik berbanding dakwat kekal yang disyorkan pada PRU 2008, dan beliau yakin tiada masalah akan berbangkit.

"Dakwat bahan yang sama (seperti yang disyorkan pada 2008) namun masih dikaji oleh Jabatan Kimia... warna dan pelbagai lagi, tetapi bahan dan kandungannya sama seperti yang pernah mereka uji sebelum ini. Dakwat ini dikatakan lebih baik berbanding yang satu lagi," katanya.

Pada 3 Dis lepas, SPR mengesahkan akan menggunakan dakwat kekal yang mengandungi 'silver nitrate' pada PRU akan datang, selepas tuntutan PSC menggunakan kaedah itu dipersetujui dan diluluskan oleh Parlimen.

Selain itu, dalam usaha membersihkan daftar pemilih, Ongkili berkata SPR hari ini turut mengedarkan cakera padat mengandungi 42,051 nama pengundi yang meragukan kepada anggota PSC dan parti-parti politik di seluruh negara.

"Ini supaya orang awam dan pihak tertentu dapat mengesahkan nama-nama yang terlibat, kerana dikatakan mereka ini sudah lama dicari oleh pihak SPR," katanya.

Ongkili juga memaklumkan bahawa mesyuarat PSC pada hari ini turut memutuskan susun atur baru tempat mengundi bagi menjadikan proses pengundian lebih telus di mana ejen tempat mengundi (wakil calon) diberikan ruang penelitian lebih rapi.

"Contohnya susunan tempat duduk di mana ejen calon adalah berhadapan pengundi, sambil dia masuk jadi dia boleh mengenali dan boleh nampak muka pengundi dengan jelas,"katanya.

Selain itu, katanya beberapa penambahbaikan lain turut dilakukan termasuk menyediakan peti undi yang lebih sesuai.

Beliau juga memberitahu bahawa setakat ini, tujuh daripada 10 cadangan PSC di Parlimen telah menerima maklum balas positif daripada SPR.

"PSC akan berfungsi selama tiga bulan lagi sehingga minggu pertama April dan kami akan terus membantu SPR daripada segi pelaksanaan dan saranan bergantung kepada masa yanga da," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Perkasa Buat Dua Laporan Polis

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain