suria

Penjaga Parkir Dihukum Gantung Sampai Mati Kerana Membunuh

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penjaga tempat letak kereta selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu terhadap K.Marimuthu, 37, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

"SP1 (saksi pendakwaan) telah menceritakan bahawa SP1 nampak tertuduh menembak si mati dari jarak 20 kaki. Kenyataan tertuduh bahawa tertuduh tidak ingat di mana tertuduh berada ketika kejadian ditolak mahkamah," katanya.

Marimuthu didakwa membunuh Md Rashid Mahamud, 48, dengan menembak mangsa di atas jalan batu kelikir menghala ke Ladang Kelapa Sawit OSK Properties Sdn Bhd berhampiran Pasar Raya Econsave Jalan Kuala ketil, Sungai Petani, kira-kira pukul 5 petang, 28 Ogos 2008.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud sementara tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid. - BERNAMA

Artikel Lain