suria

Pameran MATTA 2012 Dijangka Tarik 100,000 Pengunjung

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100,000 pengunjung dijangka melawat Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Mac depan.

Presiden MATTA Datuk Mohd Khalid Harun berkata pameran tiga hari itu mulai 6 Mac sudah pasti menjadi acara yang harus dikunjungi bagi mendapatkan tawaran pakej istimewa dan terbaik yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dalam mahupun luar negara.

"Kami akan memperuntukkan 984 gerai pameran, iaitu penambahan 34 gerai berbanding tahun lepas dalam kawasan seluas 23,200 meter persegi," katanya kepada pemberita pada pelancaran rasmi resepsi pameran itu di sini Rabu.

Mohd Khalid berkata MATTA juga akan turut menganjurkan pameran seperti itu di Selangor, Johor, Kelantan, Perak, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan pada tahun depan.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur, John Tan berkata tempahan untuk gerai pameran akan dibuka untuk agensi pelancongan dalam dan luar negara mulai 9 Jan depan.

"Kami akan menawarkan diskaun RM200 untuk pendaftaran awal manakala pempamer yang menyertai acara itu lebih tiga tahun akan diberi diskaun sebanyak RM500," katanya.

Pameran MATTA menawarkan pakej pelancongan yang menarik untuk pelancong sejak 1991 dan acara itu menjadi pameran pelancongan utama di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain