suria

Malaysia Dipilih Sebagai Lokasi Penggambaran Filem Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Seorang pembuat filem bebas antarabangsa Dr Brad Batchelor telah memilih Malaysia dengan persekitaran hutan dan bangunan warisannya yang unik dijadikan sebagai lokasi penggambaran filem berjodol 'Against The Wind' yang akan diedarkan tahun depan.

Batchelor, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Flying Scotsman Production Inc, berkata terdapat berbagai lokasi unik di negara ini yang boleh dijadikan tempat penggambaran filem bertaraf antrabangsa itu.

"Beberapa adegan telah dibuat terutama sekali di lokasi bersejarah di Melaka dan di Pulau Pinang yang indah, yang memiliki bandaraya dipenuhi bangunan senibina warisan," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Filem berkenaan membawa penontonnya melihat pengembaraan Alex James yang juga seorang juruterbang dalam skuadran perkhidmatan udara Perancis bergabung nyawa dan terselamat dalam Perang Dunia Pertama.

Filem tersebut antara lain menggambarkan suasana dalam Perang Dunia Pertama dan peranan dimainkan oleh skuadran udara tersebut sekitar tahun 1916 hingga ke peperangan menentang saudagar candu di tahun 20an dan cabaran dihadapi akibat penindasan kaum serta kejadian pembunuhan di tahun 30an.

"Terdapat banyak lokasi menarik seperti kuil Buddha, masjid, kawasan pantai indah, hutan tropika dan bandaraya moden yang boleh ditukar menjadi 'pemandangan menakutkan' atau menunjukkan gambaran mantap," katanya. Beliau berkata banyak lokasi di sini menyerupai lokasi penggambaran di Hollywood dan belanja menyediakan tempatnya juga sangat munasabah.

Batchelor menggesa pengeluar filem antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi utama mereka menghasilkan penggambaran terutama sekali dengan adanya persikaran hutan semulajadi dan bangunan warisan.

"Saya telah menggunakan kesempatan mencari bakat baru di Malaysia termasuk rakan-rakan mereka yang diambil berlakon dalam filem berkenaan," katanya.

Syarikat tersebut yang merupakan sebuah pengeluar filem bebas berpusat di Boone, Carolina Utara, berhasrat menerbitkan filem yang sangat berkualiti dengan menggunakan para pelakon luar demi memajukan industri serta membuka peluang kepada mereka menunjukkan bakat lakonan kepada dunia luar. - BERNAMA

Artikel Lain