suria

KIMMA Sasar Tiada India Muslim Miskin Menjelang 2015

KUALA LUMPUR: Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) menyasarkan sifar peratus fakir miskin daripada kalangan masyarakat India Muslim di negara ini menjelang 2015.

Presidennya Datuk Syed Ibrahim Kader berkata usaha untuk mempertingkatkan bantuan dan menjaga kebajikan masyarakat India Muslim bermula Oktober lepas dengan mengeluarkan borang bancian Yayasan Kemajuan Islam Nasional (YAKIN) bagi mendapatkan angka sebenar masyarakat India Muslim yang menetap di negara ini.

"Dalam rekod KIMMA, terdapat 64,800 orang masyarakat India Muslim di Malaysia walaupun tiada angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

"Usaha mengenal pasti jumlah sebenar ini adalah bagi KIMMA memantau dan membantu kebajikan masyarakat India Muslim sekiranya mereka menghadapi sebarang kesulitan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan persekolahan di ibu pejabat KIMMA di sini Khamis.

Pada majlis itu, KIMMA dan YAKIN menyampaikan bantuan persekolahan bagi sesi 2012 kepada 174 orang pelajar daripada 80 keluarga dari sekitar Kuala Lumpur. "Kita perlu sedar bahawa pendidikan adalah amat penting bagi menjamin kehidupan anak-anak pada masa depan dan saya sentiasa bersedia untuk membantu golongan ibubapa sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan dalam menyediakan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka," kata Syed Ibrahim.

Beliau berkata KIMMA dengan kerjasama YAKIN turut menyediakan biasiswa dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pangajian di peringkat tertinggi tanpa mengambil kira sama ada mereka daripada kalangan ahli KIMMA atau tidak. - BERNAMA

Artikel Lain