suria

Kastam Melaka Rampas 1.56 Juta Batang Rokok Tidak Sah Tahun Ini

JASIN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya merampas 1.56 juta batang rokok tidak sah dengan cukai sebanyak RM807,000 di negeri ini dari awal tahun ini hingga semalam.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Said berkata rampasan yang bernilai RM179,000 itu adalah hasil operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di 169 premis perniagaan dan seramai 14 individu didakwa.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian Kempen Membasmi Jualan Rokok Tidak Sah dan Khidmat Bakti Masyarakat di sini, Rabu.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pegawai penguatkuasa kastam yang ditembak di hadapan rumahnya di Jalan Sungai Air Hitam, Taman Tanjung Minyak, di sini, Jumaat lepas kini dilaporkan stabil. Katanya, Rosli Aziz, 53, selesai menjalani dua pembedahan Sabtu lepas dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan. Mohd Nasir berkata insiden yang menimpa pegawainya itu dipercayai bermotifkan dendam berikutan kejayaannya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan mendakwa lebih 15 anggota sindiket pada tahun ini.

Ekoran kejadian tersebut, semua pegawai penguatkuasa kastam dinasihatkan mengambil langkah keselamatan dalam setiap tugas penguatkuasaan dan ketika di rumah. - BERNAMA

Artikel Lain