suria

Kajian Dibuat Sebelum Enakmen Mineral Dipinda:MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak telah mengadakan perbincangan serta kajian sebelum mengambil ketetapan bagi membentangkan pindaan terhadap Enakmen Mineral Perak yang diluluskan pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pindaan itu juga mengambil kira semua aspek penjenisan batuan yang sebelum ini tidak diklasifikasikan dan mempunyai pasaran yang berbeza-beza.

"Cukai lima peratus daripada jualan kasar pula mengambil kira penjenisan batuan. Selama ini mereka (pengusaha) tidak dikenakan lima peratus...sebelum ini kita fikir, seperti batu kapur hanya batu kapur, namun ia ada jenis dan kualitinya.

"Sesetengah batuan dijual dengan harga yang mahal, contohnya pasir bukan hanya setakat bentuk pasir tetapi ada silika yang mempunyai harga yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan tengah hari sempena persaraan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Persatuan Kuari Perak (PQA) yang mahu kerajaan negeri menangguhkan Enakmen Mineral Perak (pindaan) 2011 yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan ini kerana mendakwa terdapat beberapa perkara yang tidak jelas, bercanggah serta boleh menyebabkan kerugian kepada pengusaha kuari dan kerajaan negeri.

Zambry berkata caj yang dikenakan pula adalah berdasarkan harga dan penjenisan yang ada dalam pasaran.

Mengenai permintaan PQA untuk berdialog, beliau berkata kerajaan negeri tiada halangan jika mereka mahu berbuat demikian.

Setiausaha PQA Saw Lid Haw memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa terdapat beberapa perkara dalam enakmen itu yang tidak jelas dan bercanggah yang boleh menyebabkan kerugian kepada pengusaha kuari dan kerajaan negeri.

"Kami menyokong sepenuhnya usaha ini (pindaan enakmen) yang memudahkan kerja-kerja penjualan dan pembayaran cukai termasuk mengurangkan dokumentasi tetapi beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mengelak kerugian kepada mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata bagi memudahkan perkara itu diselesaikan PQA meminta satu sesi dialog diadakan termasuk beberapa siri perbincangan antara pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersama wakil persatuan bagi memastikan enakmen tersebut dapat melindungi kesemua pihak.

Saw berkata pihaknya telah dipanggil menghadiri sesi taklimat pada 22 Dis lepas dan selepas sesi penerangan pihaknya diberitahu enakmen tersebut akan bermula pada 1 Jan depan.

Beliau berkata dengan pindaan itu, pengusaha kuari tidak lagi mengisi borang 4C iaitu pengeluaran doket bagi memindahkan bahan mineral tetapi hanya perlu menghantar laporan bulanan kepada PTG.

"Bagi kami, enakmen ini perlu lagi diperhalusi dan pihak PTG perlu mendapatkan maklumbalas dari pengusaha kuari sebelum pelaksanaan kerana itulah kami memohon perkara ini ditangguhkan selama enam bulan atau setahun lagi bagi memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," katanya.

PQA menyuarakan perkara itu bagi melindungi lebih 40 anggota persatuan yang kini menjalankan perusahaan batu kapur dan granit, kata Saw.

Beliau berkata penetapan cukai lima peratus daripada jualan kasar bagi batu kapur kalsium tinggi tidak melindungi pengusaha.

"Kami menjual produk ini di pasaran tempatan dan berdasarkan gred, ia dijual dengan harga berbeza-beza oleh pengusaha," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain