suria

JHEAT Teliti Tindakan Terhadap Masjid Solat Jumaat Tanpa Kebenaran

KUALA TERENGGANU: Bentuk tindakan terhadap masjid-masjid yang melakukan solat Jumaat tanpa kebenaran akan diketahui selepas mesyuarat pertama jawatankuasa khas menangani masalah itu awal bulan depan. Pengerusi Jawatankuasa Khas itu yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Rozali Saleh berkata pihaknya kini sedang meneliti segala laporan mengenai perkara itu.

"Kita akan panggil mesyuarat pertama awal bulan depan untuk membincangkan tentang laporan mengenai kes ini yang mana laporannya sudahpun dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk diteliti.

"Antara bentuk tindakan yang mungkin akan dikenakan nanti termasuk berbentuk undang-undang, perbincangan atau nasihat, bergantung kepada suasana setempat," katanya.

Beliau mengulas perkembangan kes mengenai sembahyang dua Jumaat dalam satu kariah yang dilaporkan berlaku di 11 buah masjid di negeri ini, kebanyakannya di Marang dan Besut.

Menurut Mohd Rozali, laporan itu juga akan diserahkan kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin selaku ketua agama Islam di negeri ini untuk tindakan selanjutnya.

Sultan Mizan baru-baru ini melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu tanpa kebenaran pihak berkuasa. - BERNAMA

Artikel Lain