suria

BN Kedah Rangka Manifesto Khusus Untuk Rakyat Kedah

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah akan memperkenalkan manifesto khusus untuk negeri itu pada pilihan raya umum akan datang yang mengandungi tawaran terbaik kepada seluruh rakyatnya.

Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata manifesto itu dirangka oleh sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat dan ahli akademik selain mendapatkan input daripada pihak lain.

"Kandungan lengkap manifesto itu hanya akan diumumkan apabila tiba tarikh pilihan raya umum kelak dan saya yakin rakyat akan menerima baik janji kita kepada mereka," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Beliau berkata manifesto itu akan menumpukan kepada usaha memenuhi aspirasi rakyat Kedah selepas melalui tahun yang malap di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

"Isu, keperluan rakyat, harapan rakyat dan pembangunan di Kedah adalah berbeza, jadi kita merangka ia mengikut acuan Kedah," katanya yang sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 14 Persatuan Kebajikan Taman Perumahan dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri Bakar Bata.

Pada majlis itu setiap persatuan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew. - BERNAMA

Artikel Lain