suria

Bekas Naib Presiden Kanan IIB Mengaku Dedah Maklumat Harga Bidaan Tender

JOHOR BAHARU: Bekas Naib Presiden Kanan Iskandar Investment Berhad (IIB) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah mendedahkan maklumat harga anggaran bidaan bagi tender satu projek pembinaan jalan, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas Rostam Razali, 51, yang berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor, mengaku melakukan kesalahan itu di pejabat South Johor Investment Corporation Berhad, yang kini dikenali sebagai IIB pada awal April, 2008.

Dia dituduh tanpa kebenaran pihak pengurusan telah menggunakan maklumat yang diperolehi atas kedudukannya sebagai pegawai syarikat itu untuk mendapat keuntungan bagi dirinya dan orang lain dengan mendedahkan maklumat harga anggaran bidaan Projek 3: Pakej 3B - pembinaan dan penyiapan Jalan Abu Bakar Interchange kepada bakal penender iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kimlun Sdn Bhd Sim Tian Liang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 132(2)(b) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3) Akta Syarikat 1965, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000.

Mengikut fakta kes yang dibacakan di mahkamah, Rostam telah menerima anggaran harga projek pembinaan tersebut daripada konsultan projek itu, ARH Jurukur Bahan Sdn Bhd pada 3 April 2008 sebelum memaklumkan kepada Sim supaya syarikat Kimlun Sdn Bhd memasuki tender tersebut dalam lingkungan harga RM118 juta hingga RM128 juta.

Kimlun Sdn Bhd kemudian memasuki tender pada harga lingkungan sebagaimana dimaklumkan oleh Rostam dan akhirnya berjaya mendapatkan projek berkenaan pada 21 Okt 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Fazlin Hamdan manakala Rostam diwakili peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor.

Rostam membayar denda itu. - BERNAMA

Artikel Lain