suria

SPAD Buat Penstrukturan Semula Sistem Operasi Pengangkutan Awam

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan melakukan proses penstrukturan semula sistem operasi kenderaan darat awam sebagai usaha mengatasi masalah sistem operasi pengangkutan awam yang dikatakan tidak konsisten.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata terdapat pelbagai isu pengangkutan awam terutamanya masalah lebihan penawaran perkhidmatan pengangkutan, laluan operasi yang tidak seragam, masalah tambang, kebajikan pemandu dan sistem sewa beli kenderaan yang tidak memenuhi syarat.

"Diharapkan langkah penstrukturan semula sistem ini dapat memperbaiki mutu perkhidmatan sektor pengangkutan awam," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat lesen pengendali syarikat pengangkutan awam di sini Rabu.

Syed Hamid berkata SPAD akan mengambil langkah penyelesaian segera dengan merangka pelan induk sektor pengangkutan awam negara ini.

Katanya masalah lebihan penawaran pengangkutan awam adalah masalah utama yang dihadapi oleh pengusaha masa kini.

Beliau berkata bahawa kini terdapat lebih 84,000 teksi di seluruh negara.

Di Pulau Pinang sahaja, terdapat 2,409 teksi yang aktif menjalankan operasi.

"Masalahnya sekarang penumpang kurang. Masalah ini ada penyelesaiannya walaupun langkah ke arah itu memerlukan proses yang panjang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain