suria

Polis Tumpas Sindiket Curi Lori 'Geng Azlan'

KUALA LUMPUR: Polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes curi lori di Gombak sejak awal tahun ini dengan penangkapan empat anggota 'Geng Azlan' minggu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata polis turut menemui semula lapan lori terbabit dalam serbuan di Tanjung Karang, Selangor dan Selekoh, Perak.

"Suspek pertama lelaki tempatan, berusia 26 tahun yang dipercayai dalang sindiket ditahan pada 19 Dis, kira-kira 5.30 petang di Parit 3, Tanjung Karang," katanya pada sidang media, di sini Selasa.

Susulan itu pada 21 Dis, polis memberkas suspek kedua juga lelaki warga tempatan yang berusia 30 tahun di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang.

Rosly berkata suspek ketiga berusia 27 tahun ditahan pada pukul 5.30 petang 23 Dis lepas di Sungai Tiang Baroh, Selekoh, disusuli penangkapan suspek keempat kira-kira 45 minit kemudian di kawasan sama.

Polis kemudian dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Parit Dayang, Selekoh yang dipercayai tempat penyimpanan lori sebelum diubah suai dan dijual.

Setiap lori yang dicuri dan diubah suai itu dipercayai dijual dengan harga antara RM3,000 dan RM5,000, katanya.

Katanya siasatan awal mendapati suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain