suria

Polis Terengganu Kenal Pasti Dua Anggota Kumpulan Pecah Rumah

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu telah mengenal pasti dua anggota kumpulan pecah rumah yang dipercayai melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Marang pada 17 Dis lepas dan Hulu Terengganu pada Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, pihak polis sedang giat menjejaki kesemua ahli kumpulan terbabit yang dianggotai antara empat ke lima orang.

Kumpulan itu dipercayai dianggotai oleh warga asing dan seorang warga tempatan, katanya.

"Siasatan awal polis mendapati kumpulan berkenaan didalangi seorang warga tempatan yang bertindak memberikan maklumat kepada kumpulan terbabit sebelum mereka memilih sasaran," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya, kumpulan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan pecah rumah yang telah berjaya ditumpaskan di Kemaman 17 Dis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi, 17 Disember di Marang, seorang peniaga wanita kerugian hampir RM80,000 termasuk wang tunai sebanyak RM7,000 apabila rumahnya dipecah masuk oleh empat lelaki bertopeng yang besenjatakan alat pemotong dan besi.

Tidak sampai seminggu selepas itu, seorang peraih kelapa sawit di Hulu Terengganu terpaksa berputih mata apabila kehilangan wang tunai serta barangan kemas yang dianggar bernilai RM350,000 apabila rumahnya dipecah masuk dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi.

Dalam kedua-dua kejadian itu, kesemua mangsa dikejutkan sebelum diikat dengan menggunakan wayar dan dikumpulkan di satu tempat.

Manoharan tidak menolak kemungkinan kes tersebut dilakukan oleh kumpulan yang sama berdasarkan modus operandi yang digunakan. - BERNAMA

Artikel Lain