suria

Perkasa Minta Rakyat Jauhi Perhimpunan 9 Januari

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa rakyat agar tidak terpengaruh atau terlibat dengan rancangan mengadakan perhimpunan 9 Januari depan, kononnya bagi menuntut keadilan untuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata penganjur perhimpunan itu tidak sepatutnya menggunakan rakyat bagi mendesak mahkamah membebaskan Anwar daripada pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada tarikh berkenaan dalam kes Anwar yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.

Ibrahim berkata usaha mengajak rakyat menyertai perhimpunan itu perlu dihentikan segera kerana perbuatan tersebut seolah-olah mempergunakan rakyat untuk kepentingan peribadi.

"Ini adalah kerja menghasut dan cuba menghina sistem kehakiman negara. Bila rakyat cabar dia bersumpah, dia (Anwar) tak nak bersumpah, tetapi sekarang minta rakyat pula menjadi hakim.

"Saya seru kepada rakyat yang cinta kepada keamanan di negara ini, jangan terpengaruh dengan tindakan pihak berkepentingan politik dan peribadi ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Perkasa di sini Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain